Tuesday, July 20, 2010

Kuliah 4: Bahasa Melayu Tinggi - 28 Januari 2011


Membudayakan Bahasa Melayu Tinggi


Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-4


Tema “Bahasa dan Pemerkasaan Masyarakat”


Dewan Persidangan Pusat Pendidikan Luar, Universiti Putra Malaysia

11 dan 12 November 2008.


Anjuran Jabatan Bahasa Melayu, UPM, DBP, dan KEKWA


Prof. Emeritus Abdullah Hassan

Pengarah, Institut Peradaban Melayu, UPSI


1. Pengenalan


Budi bahasa itu bergabung jalin dan sukar dipisahkan.


Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga.

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.


Budi bahasa itu melibatkan kesantunan berbahasa. Ia melibatkan peri laku kita berkomunikasi secara lisan. Peraturan berkomunikasi dalam tulisan adalah berlainan daripada peraturan berkomunikasi secara lisan. Perilaku dalam berkomunikasi secara lisan dengan mudah dapat dilihat dan didengar serta-merta. Ini bermakna ia dinilai dengan serta-merta, dan dapat menimbulkan kesan yang serta-merta juga. Baik budi bahasa kita, baik pula budi bahasa orang yang dilawan bercakap. Buruk budi bahasa kita, buruk pulalah kemungkinannya tindak balas yang kita terima.


Apakah yang kita maksudkan dengan budi bahasa? Agak sukar kita mendefinisikan istilah budi bahasa ini dalam satu atau dua buah ayat. Oleh sebab itu, ada baiknya kita melihat tanda-tanda dalam pertuturan orang yang dikatakan berbudi bahasa. Ini bermaksud, apakah ciri-ciri budi bahasa yang dapat dilihat dalam pertuturan seseorang. Dengan perkataan-perkataan lain, apabila kita mendengar seseorang bertutur, berucap, berceramah dan bersyarah, ada ciri-ciri yang dapat kita lihat sebagai tanda-tanda budi bahasa tersebut.


Bahasa menunjukkan bangsa. Perkataan bangsa di sini tidak bermakna kelompok etnik, tetapi adalah suatu unsur daripada perkataan kebangsawanan seseorang. Maksud ungkapan ini adalah bahawa bahasa seseorang itu dapat menunjukkan dua tanda yang paling ketara. Pertama bahasa seseorang itu dapat menunjukkan sama ada dia itu adalah orang berpendidikan atau tidak, atau orang persuratan atau tidak. Kedua, budi seseorang itu menunjukkan bahawa dia mempunyai budi pekerti yang baik atau tidak, iaitu dia berkebangsawanan atau tidak.


Ini dengan mudah dapat kita lihat dan pastikan apabila kita mendengar seseorang bertutur. Kita dapat menentukan bahawa dia bertutur seperti orang mempunyai pendidikan atau tidak. Kita juga dengan mudah dapat mempastikan sama ada seseorang itu mempunyai budaya halus atau tidak.


Itulah yang ditunjukkan oleh bahasa yang kita gunakan, sama ada orang yang bertutur itu adalah seorang yang bangsawan, yakni orang yang berilmu dan berbudi, atau tidak. Orang demikian akan bertutur dengan bersopan santun, yakni berbudi bahasa.


Bahasa itu menunjukkan kebangsawanannya, iaitu: taraf sosialnya, taraf pendidikannya, dan taraf kehalusan budinya.


Bagi memberi panduan yang dapat digunakan dalam berkomunikasi secara lisan dengan orang lain kita dapat menggunakan kaedah berikut:


1. Mengenal pasti peristiwa yang kerap menimbulkan kesalahan budi bahasa.

2. Menyenaraikan dialog yang berlaku.

3. Menganalisis kesalahan tata bahasa

4. Menganalisis kesalahan dan budi bahasa yang dilakukan.

5. Ini diikuti dengan dengan memberi pembetulan bahasa yang mematuhi peraturan kesantunan berbahasa.


2. Panduan Berbudi Bahasa


Bercakap malam dengar-dengar,

Bercakap siang pandang-pandang.

Yang kecil itu jangan disangka anak.

Yang besar itu jangan disangka bapa.


Dalam berkomunikasi secara lisan ini ada satu kejadian yang pelik tetapi benar. Bahasa lisan itu boleh wujud dalam bentuk tulisan. Oleh sebab itu, ada penggunaan bahasa kita, walaupun bertulis, tetapi adalah sebenarnya bahasa lisan. Ia itu adalah bahasa lisan yang dituliskan. Contohnya adalah bahasa sms, iaitu bahasa dalam sistem mesej singkat.


Ada ramai antara kita yang sering menghantar sms dalam bahasa lisan yang dituliskan. Ada kalanya bahasa sms kita itu sama sekali tidak menggunakan budi bahasa yang baik. Malah, selalunya begitulah yang berlaku. Dalam sms, budi bahasa seseorang itu lebih mudah dapat ”ditangkap” baik buruknya. Segala-gala yang kita tuliskan itu kekal dan dapat dianalisis. Analisis itu dapat benar menunjukkan budi bahasa seseorang.


Apabila kita bercakap, sedar atau tidak, perbutan kita itu samalah seperti orang memandu kereta. Ada banyak peraturan yang kita mesti patuhi semasa memandu. Tetapi kita tidak menyedari lagi setiap peraturan itu kita ikuti sebab sudah sebati dengan tindakan kita. Orang yang memandu dengan mematuhi semua peraturan akan kelihatan memandu dengan baik dan cermat. Orang yang tidak, akan melanggar banyak peraturan lalu lintas dan kelihatan kasar. Perbuatan demikian memberi kesan buruk kepada pemandu lain. Dia akan menyebabkan pemandu lain marah.


Begitu juga, seorang yang melanggar peraturan budi bahasa juga dapat dilihat bercakap dengan kasar. Ini menimbulkan kesan yang tidak menyenangkan pada orang yang dilawannya bercakap. Kesan demikian mungkin menimbulkan akibat yang negatif seperti kehilangan kawan baik, kehilangan peluang kerja dalam temuduga, kehilangan pelanggan dalam perniagaan, kehilangan kerja sama dalam kelomok, kehilangan simpati orang dalam berbual, dan banyak lagi.


Buku ini khusus memberi panduan menggunakan bahasa dengan sopan apabila berkomunikasi secara lisan. Ada dua jenis unsur bahasa yang terlibat, iaitu: unsur-unsur tata bahasa dan unsur-unsur budi bahasa.


Unsur-Unsur Tata Bahasa


Perkara yang dikatakan unsur-unsur tata bahasa adalah berkaitan dengan peraturan-peraturan tata bahasa kita. Dalam bahasa Melayu, unsur berkenaan adalah seperti berikut:


1. Sebutan: setiap huruf disebut dengan sempurna bagi menunjukkan sikap peduli dan sopan.

2. Tata bahasa yang lengkap dan rapi: ayat lengkap, imbuhan lengkap, seperti: bu(kan), (meng)angkat, (ji)kalau, dll. Menggunakan tata bahasa yang lengkapmenunjukkan kita menghormati orang yang dilawan bercakap atau majlis di mana kita berucap.

3. Suara dan intonasi yang jelas menunjukkan kita sopan.

4. Kosa kata bahasa tinggi (dia cakap = dia berkata, jadi = oleh sebab itu) menunjukkan kita orang yang memilih perkataan dengan rapi dan berpendidikan, ahli yang santri.

5. Menggunakan kata sendi yang tepat menunjukkan kita oarng yang serius dan berfikir. Kata sendi bahasa basahan (kat hospital = di hospital, kat dia = pada dia, kat situ = di situ, pergi kat sana = pergi ke sana), hanya menunjukkan bahawa kita tidak mengambil berat tentang lojik pertuturan kita. Kata sendi dalam ayat Saya tinggal (de)kat Kuala Lumpur tentulah tidak dapat diterima dalam mahkamah sebagai Saya tinggal di Kuala Lumpur.

6. Gerak geri yang halus dan sopan dari segi budaya.

7. Menguasai pragmatik yang baik, iaitu mengetahui cara keseluruhan penggunaan bahasa tinggi yang canggih, bukan neka basahan yang rendah dan kasar.


Semua unsur ini dapat kita dengar dan lihat pada masa kita berkomunikasi. Kita dapat mendengar apa yang diucapkan oleh orang, dan kita dapat melihat apa yang dilakukannya.


Unsur-Unsur Budi Bahasa


Bahasa sopan membina iklim yang positif. Berikut adalah unsur-unsur yang membina iklim komunikasi yang sopan.


1. Bentuk sapaan dan ganti nama yang sopan. Ganti nama mesra adalah tidak sesuai boleh merendahkan taraf orang yang dilawan berkomunikasi dalam konteks bukan sahabat dan keluarga.

2. Neka bahasa tinggi, neka rendah turut merendahkan taraf orang yang dilawan berkomunikasi.

3. Gaya bahasa yang sesuai.

4. Sebut nama batang tubuh orang yang dilawan bercakap itu adalah perbuatan merendahkan taraf orang itu (down levelling).

5. Isi perbincangan: sama ada kita bercakap kosong, bergosip, mengumpat, dll. adalah juga menunjukkan sama ada kita berbudi bahasa atau tidak.


3. Neka Bahasa Dan Taraf Bahasa


Orang pasar berkata lu dan gua.

Orang putih celup berkata ai dan yu.

Orang darat berkata aku dan engkau.

Orang baruh berkata saya dan encik.

Orang persuratan berkata saya dan tuan.

Orang istana berkata patik dan tuan hamba.

Sultan bertitah beta dan tuan.

Baru bahasa dikatakan menunjukkan kebangsawanan kita.


Bagaimana kita dapat memahami dan menggunakan bahasa yang berbudi apabila berkomunikasi secara lisan? Bagi mengetahui kaedahnya, marilah kita jelaskan beberapa konsep bahasa yang berkaitan dengan perkara ini. Konsep tersebut adalah neka bahasa.


Istilah neka bahasa ini adalah padanan untuk istilah language variety dalam bahasa Inggeris. Kita tidak pula menggunakan imbuhan a di depan perkataan neka. Ini adalah disebabkan bahawa unsur a dalam bahasa Sanskrit bermakna ’tiada.’ Oleh sebab itu, aneka bermakna ’tiada neka.’


Dalam bahasa apa sekalipun terdapat banyak neka. Bahasa Melayu pun begitu juga. Ada banyak neka dalam bahasa Melayu. Neka-neka dalam bahasa Melayu yang melibatkan tata bahasa dan budi bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi. Secara umum, kita perlu mengenal pasti dua jenis neka bahasa, iaitu neka bahasa rendah dan neka bahasa tinggi.


Neka Bahasa Rendah dan Neka Bahasa Tinggi


Kita perlu arif mengenal pasti neka bahasa yang kita gunakan, ada neka yang seusai digunakan dalam konteks keluarga, konteks rakan, konteks jual beli di pasar, iaitu dalam konteks tidak rasmi. Dalam konteks tidak rasmi ini kita menggunakan bahasa bualan seharian, ada kalanya dipanggil juga sebagai bahasa basahan. Bahasa basahan tergolong ke dalam jenis neka bahasa rendah. Ciri-ciri bahasa rendah tidak mematuhi semua peraturan tata bahasa, sebutan, dan penggunaan kata. Ia menggunakan sistem sapaan dan ganti nama yang menunjukkan kemesraan, pertalian keluarga dan kebiasaan dalam kelompok masyarakat tertentu. Ia banyak menggunakan sebutan tidak baku seperti sebutan dialek dan basahan, kosa kata dialek, kata-kata ringkas dan lambang-lambang tulisan yang tidak ada dalam sistem ejaan rasmi, dll. Lazimnya kebiasaan ini adalah peribadi sifatnya, dan tidak dimengerti oleh semua orang. Ada kalanya, kita tidak dapat memahami maksud yang ada pada penutur atau penulisnya. Neka bahasa rendah ini adalah untuk ahli kelompok masyarakat yang dikenali dengan mesra, rapat dan biasa saja. Neka ini tidak boleh digunakan dalam konteks rasmi. Konteks rasmi memerlukan neka bahasa tinggi.


Neka bahasa tinggi adalah bahasa yang digunakan dengan rapi dan terkawal. Bahasa begini mematuhi peraturan tata bahasa dan juga peraturan budi bahasa. Peraturan tata bahasa menuntut supaya sebutan, semua imbuhan, nahu dan intonasi digunakan dengan sempurna. Neka bahasa tinggi ini digunakan di dalam konteks rasmi, iaitu di jabatan-jabatan kerajaan, mahkamah, gedung perniagaa, dan badan-badan korporat. Peraturan budi bahasa mematuhi semua penggunaan sistem panggilan, taraf dan tatatertib berkomunikasi, sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan.


Bagi menjelaskan perkara ini, lihatlah contoh penggunaan neka bahasa neka rendah, hasil perbualan seorang rakan dengan rakan-rakan lain yang sudah kenal biasa dengannya. Dia menggunakan bahasa neka rendah bagi menunjukkan perhubungan mesra antara rakan.


Contoh 1a: Bahasa Basahan (Neka Bahasa Rendah)


Yesterday tau, we all pegi kat Melaka. Uncle I duduk kat Melaka. So, we all visit dia. Anak dia tu, cousin I lah, semuanya sekolah lagi. Busylah mother dia oghang hanta ke sekolah. Habeh sekolah we all pi lah kat Portugis village. Enjoy sangatlah tengok dance Portugis tu kan? (49 perkataan, 228 huruf dan spasi)


Apabila peristiwa ini diungkapkan dalam neka bahasa tinggi yang digunakan dalam konteks rasmi seperti dalam jabatan kerajaan dan korporat, peristiwa ini akan dilaporkan dengan mematuhi bukan saja semua peratura tata bahasa, tetapi juga peraturan budi bahasa. Laporan ini perlulah ditulis kembali seperti berikut.


Contoh 1b: Bahasa Rasmi (Neka Bahasa Tinggi)


Saya ingin menceritakan bahawa semalam kami pergi ke Melaka. Bapa saudara saya tinggal di Melaka. Oleh sebab itu kami pergi melawat beliau. Beliau mempunyai anak kecil, iaitu sepupu saya, yang masih bersekolah. Emak mereka sibuk menghantar dan menjemput mereka dari sekolah. Selepas pulang dari sekolah kami pergi ke Kampung Portugis. Kami sungguh merasa seronok menonton tarian Portugis. (57 perkataan, 330 huruf dan spasi)


Apabila laporan ini dibuat dalam bahasa basahan, iaitu neka bahasa rendah, maka laporan ini tidaklah sesuai digunakan dalam konteks rasmi seperti bilik darjah dan mesyuarat. Neka bahasa rendah ini tidak mengambil kira semua peraturan tata bahasa seperti sebutan, imbuhan, ayat, dan penggunaan perkataan. Ia juga tidak mengambil kira peraturan budi bahasa seperti menggunakan sistem sapaan yang hormat, sistem ganti nama yang sesuai dengan kedudukan taraf orang yang mendengarnya.


Oleh sebab itu, apabila neka bahasa rendah ini digunakan dalam konteks yang memerlukan penggunaan neka bahasa tinggi, maka komunikasi begitu dapat difahami sebagai melanggar kedua-dua peraturan: peraturan tatabahasa dan peraturan budi bahasa. Itulah yang dikatakan komunikasi yang tidak mematuhi kesantunan berbahasa, khususnya komunikasi lisannya tidak bertatabahasa, dan tidak juga berbudi bahasa.


Konteks Neka Bahasa Rendah dan Konteks Neka Bahasa Tinggi


Neka bahasa rendah adalah bahasa basahan seharian. Bahasa begini sesuai digunakan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan karib. Fungsinya adalah bagi bertanya khabar, bercerita, bermesra-mesra, bergurau-gurau dan dilakukan di tempat-tempat seperti di rumah, di kampug, iaitu di tempat bukan rasmi dll.


Neka bahasa rendah ini tidaklah sesuai sama sekali digunakan untuk urusan rasmi, dalam majlis rasmi atau di tempat rasmi dll. Oleh sebab itu, kita perlu melatih diri menggunakan neka bahasa tinggi untuk konteks dan urusan rasmi. Ini adalah penting. Hanya neka bahasa neka tinggi yang terkawal rapi dapat menyampaikan maksud rasmi, iaitu bahasa neka tinggi menyampaikan perkara mengenai budaya tinggi.


Bahasa Korporat: Bahasa Lelaki dan Bahasa Perempuan


Sarjana komunikasi juga sering membuat klasifikasi penggunaan bahasa menurut gender. Bahasa neka rendah seperti bahasa basahan juga dipanggil bahasa perempuan, dan bahasa neka tinggi juga diklasifikasi sebagai bahasa lelaki. Istilah ii merujuk kepada bahasa, bukan orang yang bertutur. Ada perempuan yang bertutur bahasa lelaki, dan ada lelaki yang menuturkan bahasa perempuan. Komunikasi dalam organisasi seperti sebuah korporat atau jabatan kerajaan, bahasa neka tinggi saja yang sesuai. Penggunaan bahasa neka rendah, atau bahasa perempuan adalah tidak sesuai. Menggunakan neka bahasa yang tidak sesuai itu bukan saja menurunkan taraf keberkesanan komunikasi, tetapi juga tidak sopan dan menurunkan taraf sendiri pada pandangan orang yang mendengar. Bahasa rendah sering melanggar peraturan sosial. Apabila kita melanggar peraturan sosial dalam komunikasi kita, akibat negatifnya adalah serius.


Bagi mengelakkan tuduhan seksis, gunakan istilah bahasa korporat dan bukan korporat.


Bahasa Rasmi


Bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan untuk urusan rasmi seperti pentadbiran kerajaan, aktiviti perniagaan, dan aktiviti majlis-majlis sambutan, rundingan dll.


Konteks bahasa rasmi digunakan juga ditentukan oleh tempat. Apabila kita berada di dalam masjid, mahkamah, pejabat-pejabat, bangunan perniagaan, bangunan syarikat, dewan dan bilik kuliah universiti, hanya bahasa rasmi digunakan. Begitu dalam majlis-majlis rasmi seperti mesyuarat, kuliah, perasmian, pentadbiran kerajaan, pertunangan, pernikahan, dan perkahwinan, dll. hanya bahasa tinggi digunakan.


Bahasa tinggi adalah bahasa yang digunakan dengan kawalan rapi. Dengan perkataan lain, bahasa rasmi ini adalah bahasa persuratan. Dalam dunia persuratan, penggunaan bahasanya dikawal dengan rapi, yakni dikawal berasaskan bahasa bertulis. Oleh sebab itu ejaannya dikawal supaya tiada yang salah, sebutan setiap huruf diucapkan dengan betul, perkataan dan imbuhan lengkap digunakan, frasa dan ayat dibentuk dengan sempurna, perkataan-perkataannya dipilih secara berhati-hati supaya sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan. Setiap ayat dan paragraf pula diucapkan dengan intonasi yang sesuai dan sempurna.


Oleh sebab bahasa rasmi ini mematuhi rumus tatabahasa bahasa bertulis, maka bahasa rasmi ini juga dikenali sebagai bahasa persuratan.


Apakah perbezaan istilah bahasa rasmi dengan bahasa baku? Bahasa baku merujuk kepada nilai seragam yang ditentukan; dari segi ejaan, sebutan, tatabahasa, penggunaan istilah dan perkataan dan intonasi. Dengan perkataan lain istilah ini menerangkan bahasa yang baku itu mempunyai ciri-ciri standard begini.


Bahasa rasmi ini pula merujuk kepada fungsi bahasa tersebut, dalam fungsi neka bahasa baku itu digunakan.


Bahasa Dialek


Ada dua jenis bahasa dialek, iaitu. dialek daerah dan dialek sosial.


Dialek daerah paling mudah kita fahami. Umpamanya, apabila kita pergi saja ke Kelantan, ke Kedah, ke Johor, ke dll., kita akan dapat merasakan ada perbezaan bahasa yang digunakan di tempat-tempat ini. Yang paling ketara sebutan dan ganti nama yang digunakan adalah berbeza daripada satu dengan yang lain. Oleh sebab itu wujudlah istilah dialek Kelantan, dialek Kedah, dialek Johor dan lain-lain.


Dalam pada itu, ada pula perbezaan antara bahasa yang dituturkan oleh golongan masyarakat yang berlainan. Golongan Diraja dan bangsawan menggunakan bahasa yang berlainan daripada golongan biasa.


Bahasa Basahan


Bahasa basahan adalah bahasa percakapan yang digunaknn dalam konteks tidak rasmi bagi mengendalikan urusan tegur sapa, bertukar maklumat, berjual beli dan lain-lain. Ada peraturan-peraturan yang menentukan penggunaan bahasa basahan ini.


Bahasa basahan harian adalah bagi menjalankan aktiviti masyarakat sehari-harian. Bahasa begitu tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi. Oleh itu amat perlu kita melatih diri supaya berdisiplin dalam menggunakan bahasa. Hanya bahasa yang terkawal rapi dapat menyampaikan maksud tinggi.


Bahasa Slanga


Bahasa slanga sentiasa ada dalam kalangan pengguna bahasa. Yang paling ketara adalah kosa katanya, antaranya adalah: blah, syok, sure heboh, gemaq, dll. Pada zaman 1950-an dan 1960-an dulu bahasa slanga ini ada, peraktaan ’perempuan muda yang cantik’ dipanggil mambang, ’perempuan yang mengiurkan’ dikatakan bergetah,’ ’lelaki yang menganggur” dipanggil bujang lapuk, dll. Ini adalah pennggunaan bahasa yang terdiri daripada kosa kata orang-orang muda sahaja, dan sifatnya sementara saja. Penggunaan bahasa begini akan hilang setelah seketika dan digantikan dengan perkataan-perkataan lain.


Ini juga adalah sejenis dialek sosial.


Contoh 2: Contoh bahasa slanga, iaitu bahasa rendah yang digunakan dalam ucapan selamat hari raya


Ucapan ini dihantar oleh seorang pensyarah maktab perguruan kepada seorang lain. Ucapan selamat ini adalah dalam bentuk dialog dua orang bercakap menggunakan bahasa slanga, iaitu bahasa rendah.


Gambar 1: Em ... Jauh ni!

Gambar 2: Camne ek?

Gambar 1: Try jerit aje la SELAMAT ari raye

Gambar 2: maap

Gambar 2: zahir batin


Daripada seorang pensyarah Maktab


Bahasa yang digunakan dalam ucapan selamat hari raya ini adalah bahasa rendah. Ciri-cirinya ialah:


1. Gaya bahasa basahan

2. Mengeja perkataan seperti sebutan generasi muda, iaitu kata slanga seperti em, ek, camne, aje, ari raya dan maap.

3. Bahasa rojak, menggunakan kosa kata Inggeris

4. Ayat tidak lengkap.


Kita merasa sedikit lucu membaca, atau melihat ucap selamat begini. Mungkin ini adalah sebahagian daripada kreativiti anak muda yang menggunakan bahasa slanga. Tetapi apabila orang dewasa, lebih-lebih lagi seorang pegawai yang berpendidikan tinggi melakukannya, maka ucapan selamat begini tidaklah kena pada tempatnya. Kita memikirkan bahawa ini bentuk tulisan. Kenapa tulisan dimasukkan ke dalam buku bahasa lisan? Sebenarnya bahasa slanga ini adalah bahasa lisan. Cuma bahasa lisan ini ditulisakan seperti ia dituturkan. Oleh sebab itu, bahasa slanga yang dituliskan adalah dianggap sebagai bahasa lisan juga.


Sekiranya ucapan begini dihantar kepada seorang remaja, mungkin dia menggeletek gembira. Tetapi apabila dihantar oleh seorang dewasa dan berkedudukan tinggi kepada seorang lain yang juga dewasa dan berkedudukan tinggi, maka perbuatan begini dapat ditafsirkan sebagai main-main. Bermain-main dengan sesuatu yang begini menyebabkan kita menganggap penghantarnya mempunyai ciri-ciri orang yang masih belum matang dari segi budaya hormat. Dalam perkataan lain, ini adalah amalan budaya intelek yang rendah.


Apa lagi sekiranya pegawai rendah menghantar kad begini kepada peawai tinggi, maka perbuatan begini adalah biadab.


Contoh 3: Sebuah ucapan selamat yang berbudaya tinggi


Berikut diberikan contoh sebuah ucapan selamat berpuasa yang datang daripada pemikiran intelektual yang tinggi. Sekaligus, ucapan begini menggunakan bahasa tinggi.


Semoga Ramadhanmu sempurna,

Hakikatnya seharum cendana,

Iktikadnya seagung singgshsana,

Makrifatnya seanggun kencana,

Lebaranmu bermakna.

Diiringi ikhlas, dilindungi ihsan, dipayungi insaf


Ampunilah dan minta diampuni,

Selamat berpuasa dan solat tarawih,

Semoga ibadat kita diberkati Allah swt, insyaAllah.


Selamat Hari Raya.


Salam daripada kami sekeluarga.


Kita dapat melihat bahawa ucapan selamat hari raya di atas datang daripada orang yang berbudaya intelektual tinggi. Penerimanya tidak akan merasa dipermain-mainkan apabila menerima ucapan seperti ini. Dan jelaslah bahawa ucapan seperti ini tidak dapat diungkapkan dalam bahasa slanga remaja. Yang pentingnya ialah, kita memahami bahawa ucapan dalam bahasa slanga itu sesuailah dihantar kepada para remaja yang dalam lingkungan usia dan budaya sedemikian. Apabila dihantar kepada orang dewasa berkedudukan tinggi, dengan budaya dan intelek tinggi, ucapan dalam bahasa slanga itu menjadi perbuatan yang tidak mengambil kira budi bahasa.


Ringkasnya perbuatan demikian tidaklah kena pada tempatnya.


Bahasa sms


Ini adalah satu neka bahasa yang tulisan yang digunakan dalam sistem maklumat singkat yang digunakan lazimnya oleh orang muda bagi berkomunikasi melalui telefon bimbit. Dalam sms ini banyak perkataan yang dipendekkan, perkataan Inggeris yang dipinjam, dan perkataan-perkataan slanga yang diketahui oleh golongan pengguna sms itu saja. Malah, ramai golongan yang lebih tua tidak memahami bahasa sms ini.


Contoh 4: Bahasa sms


Dia ok, tingal kaki dia susah nak jalan.nanti ari ahad aku dtg umah ko le.dah lama x tengok ko.aku d opis skrg.nanti mingu dpn baru dpt cuti 2 pun 1 mingu je.k (33 perkataan, 159 huruf & spasi )


Bahasa sms ini dapat dijadikan bahasa yang berbudi bahasa, seperti berikut:


Dia tidak cedera apa-apa, cuma kakinya sukar hendak berjalan. Pada hari Ahad nanti saya datang ke rumah saudara. Sudah lama saya tidak bertemu anda. Pada masa ini saya di pejabat. Saya bercuti pada minggu depan. Salam daripada saya. (38 perkataan, 195 huruf & spasi)


Sekiranya mahu dipendekkan seperti berikut masih boleh:


Dia tidak cedera, cuma sukar berjalan. Ahad nanti saya ke rumah saudara. Lama kita tidak bertemu. Saya di pejabat sekarang, dan bercuti minggu depan. Salam. (25 perkataan, 131 huruf + spasi)


Dapat dilihat bahawa, bahasa sms ini adalah bahasa yang tidak dikawal. Kita merasakan bahasa sms ini ringkas. Sebenarnya tidak. Bahasa sms yang tidak dikawal ini menggunakan banyak perkataan, huruf dan lambang secara rambang. Akibatnya, jumlah perkataan dan huruf serta spasinya menjadi banyak. Namun, mesejnya masih belum pasti jelas. Mesej di atas menggunakan 33 perkataan dan 159 huruf dan spasi.


Apabila ditulis dengan rapi, jumlah perkataannya hanya bertambah dengan 11 menjadi 38, dan jumlah huruf dan spasi bertambah dengan 36 menjadi 195. Tetapi, bahasanya adalah jauh lebih sempurna dan mesejnya adalah lebih jelas.


Kemudian, apabila ditulis dengan lebih rapi lagi, bilangan perkataannya berkurangan menjadi 25, iaitu kurang 13 perkataan. Jumlah hurufnya juga berkurangan menjadi 131 saja, iaitu kurang 28 huruf dan spasi.


Sebenanya, bahasa sms ini tidaklah sebenarnya lebih hemat menggunakan perkataan, huruf dan spasi. Bahasa sms ini adalah tabiat menggunakan bahasa secara tidak terkawal dan tidak rapi. Bahasa sms itu adalah bahasa lisan neka rendah yang tidak terkawal, kemudian dituliskan. Oleh sebab itu, bahasa sms ini adalah tidak sesuai digunakan untuk tujuan rasmi, seperti dalam perhubungan dengan orang yang lebih tinggi kedudukan dan tarafnya. Walaupun dituliskan, bahasa sms ini tetap merupakan bahasa lisan neka rendah.


Oleh sebab itu bahasa sms ini tidak boleh digunakan dalam konteks rasmi. Apabila dilakukan juga, ia menjadi cara berkomunikasi yang tidak menghormati orang yang menerima mesej tersebut. Apabila kita menggunakan neka bahasa rendah dalam konteks rasmi, kita sudah melanggar peraturan budi bahasa dalam bahasa Melayu. Kita mungkin tidak melakukan sebarang kesalahan tatabahasa, tetapi kita sudah melakukan kesalahan budi bahasa. Itulah kebiadaban berbahasa, atau dalam bahasa ”kasar,” itulah ”kurang ajar” berbahasa. Dengan perkataan lain, bahasa sms dalam bentuk yang gemar digunakan itu tidak sesuai untuk tujuan rasmi.


Untuk tujuan rasmi, gunakanlah bahasa neka tinggi yang terkawal rapi.


Persoalan utama pada masa ini adalah sama ada penggunaan bahasa ini akan merosakkan bahasa Melayu dan meminta supaya bahasa sms ini diharamkan sama sekali. Kita harus dapat menerima hakikat bahawa bahasa sms ini adalah oleh golongan muda dalam konteks perhubungan mereka saja. Malah ada sebahagian daripada kelaziman penggunaan perkataan ringkas, ejaan dan bentuk ayat adalah tidak mematuhi syarat kesantunan berbahasa; iaitu tatabahasa dan budi bahasa.


Persoalan yang timbul pada masa ini apakah ada pihak yang memikirkan bahawa bahasa sms ini merosakkan bahasa Melayu. Kebimbangan ini ada benar dan ada tidak benarnya. Perkara yang pasti adalah kita tidak dapat menghapuskannya sama sekali. Sekiranya bahasa sms ini digunakan dalam kalangan perhubungan orang muda sesama mereka saja, tentulah ia tidak merosakkan apa-apa. Walau bagaimanapun, ia akan merosakkan apabila bahasa sms itu digunakan dalam konteks bukan sms. Itu tidak betul. Yang betulya adalah kita perlu menggunakan bahasa yang rapi sekalipun dalam sms.


Bahasa sms Hjh Zainan DBP,


Konteks penggunaan bahasa basahan dan bahasa korporat


Bahasa basahan adalah bahasa harian yang sesuai digunakan untuk interaksi sosial dalam kalangan rakan kenalan atau ahli keluarga untuk bertanya khabar, bercerita, berjual beli, dan dilakukan di tempat-tempat seperti di rumah, di kedai, iaitu di tempat bukan rasmi dll. Bahasa basahan ini tidak sesuai digunakan dalam majlis rasmi atau di tempat rasmi dll.


Bahasa basahan harian digunakan bagi menjalankan aktiviti masyarakat sehari-harian. Bahasa begitu tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi. Oleh itu kita perlu melatih diri supaya berdisiplin dalam menggunakan bahasa. Hanya bahasa yang terkawal rapi dapat menyampaikan maksud tinggi.


Bahasa yang dikawal rapi begini adalah sesuai digunakan untuk perhubungan dalam korporat. Itulah sebabnya bahasa tinggi ini juga dipanggil bahasa korporat. Malah bahasa basahan juga dipanggil bahasa perempuan, dan bahasa rapi dipanggil bahasa lelaki. Bagi komunikasi organisasi, iaitu komunikasi korporat, bahasa tinggi adalah sesuai. penggunaan bahasa rendah, atau bahasa perempuan adalah tidak sesuai. menggunakan corak bahasa yang tidak sesuai itu bukan sahaja menurunkan taraf keberkesanan, tetapi juga adalah tidak sopan. Bahasa rendah sering melanggar tatabahasa sosial, dan apabila kita melanggar tatabahasa sosial dalam komunikasi kita, akibat negatifnya adalah serius.


4. Dari Mana Datangnya Tata Bahasa dan Budi Bahasa


Orang berbudi kita berbahasa.

Orang memberi kita merasa.


Dalam menggunakan bahasa, ada dua jenis peraturan penting. Pertama adalah peraturan-peraturan seperti sebutan, ejaan, tatabahasa, kosa kata, tanda baca dll. Peraturan-peraturan ini dipanggil tatabahasa. Kedua alah peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang, dll. Peraturan-peraturan ini dipanggil budi bahasa. Malah, budi bahasa yang dijelaskan dalam bahagian berikut, adalah lebih penting.


Budi bahasa belum mendapat tempat sewajarnya dalam kursus bahasa Melayu baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Orang-orang Melayu yang tidak bersekolah mahir menggunakan bahasa tanpa belajar budi bahasanya. Mereka pandai menggunakan bahasa hormat apabila bercakap dengan pegawai-pegawai tinggi di pejabat-pejabat kerajaan. Orang-orang bukan Melayu yang belajar tatabahasa bahasa sahaja, mungkin mengalami masalah apabila tidak diajar peraturan-peraturan budi bahasa.


Pada masa ini, akibat adanya anak-anak Melayu yang membesar di luar suasana yang dapat menanamkan budi bahasa ini, kita mula berhadapan dengan keadaan bahawa ada anak-anak Melayu sendiri yang tidak mendapat pendidikan budi bahasa ini secara tradisional, maka berlakulah kelemahan dalam penggunaan bahasa yang santun ini.


Daripada pengalaman kita dapat mengetahui bahawa peraturan-peraturan budi bahasa ini kita pelajari melalui sistem pesekitaran budaya penggunaan bahasa tersebut. Kita dilatih dan diasuh oleh ahli keluarga dalam budaya yang kita amalkan. Ada dua kaedah umum yang dapat kita perhatikan digunakan.


Nilai Tradisional


Pertama, nilai sopan santun berbahasa ini diturunkan kepada kita oleh orang tua-tua. Sejak kecil ibu bapa mengasuh anak-anak supaya menggunakan perkataan-perkataan sopan apabila bercakap dengan orang yang lebih tua, atau orang lebih tinggi kedudukannya. Sebagai contoh: Umpamanya, ibu memebri tahu anak:


a. ”Dia itu pangkat abang pada kamu, panggillah dia Abang Long.”

b. Orang itu adik bongsu ayah engkau, panggillah beliau Pak Bongsu.”

c. ”Beliau itu ketua kampung, kita semua memanggilnya Datuk.”

d. ”Itu Tuk Imam sampai, engkau jemput Tuk Imam masuk.”


Anak-anak yang gagal berbuat begitu akan dipanggil ”kurang ajar.” Orang kurang ajar adalah orang yang tidak berbudi bahasa. Orang yang berbudi bahasa dikatakan orang berbudi, orang berbahasa, pandai tutur kata, manis budi bahasa. Dalam budaya timur kita diminta berbudi bahasa. Memberi hormat kepada orang yang dilawan bercakap. Ini adalah sistem panggilam dalam keluarga.


Walau bagaimanapun, sistem panggilan dalam keluarga tidak boleh digunakan di luar keluarga, lebih-lebih lagi dalam konteks rasmi. Apabila ini dilakukan, maka kita melanggar tatabahasa sosial. Katakanlah kita berada di pejabat kerajaan dan bertemu seorang pegawai wanita yang tidak kenali. Tiba-tiba sahaja kita memanggil dia Mak Cik, maka ini tidak menghormati jawatannya. Kita perlu menghormati dia dengan panggilan Puan.


Ajaran Melalui Bidalan dan Pepatah


Kedua, ada banyak tunjuk ajar dalam bidalan dan pepatah bahasa Melayu. Ini semuanya dapat dijadikan pedoman. Berikut adalah beberapa contoh:


a. Bahasa menunjukkan bangsa.

b. Orang berbudi kita berbahasa.

c. Sebab mulut badan binasa.

d. Terlajak perahu boleh undur semula; terlajak kata buruk padahnya.

e. Bercakap malam dengar-dengar, bercakap siang pandang-pandang


Malah apabila seseorang melakukan kesilapan, dia perlu mohon maaf:


Kalau nama yang salah sebut,

Kalau gelar yang salah ucap,

Kami mohon dimaafkan.


Kita sentiasa diingatkan bahawa dalam bercakap kita perlu memberi perhatian kepada banyak unsur-unsur budaya. Perlakuan beginilah yang dipanggil budi bahasa. Orang yang mengamalkannya dipanggil orang berbudi bahasa.


Apabila kita menggunakan bahasa, ada dua aspek penggunaan bahasa yang perlu diambil kira, dan kedua adalah aspek budi bahasa. Walau bagaimanapun kedua-dua aspek tidaklah tidaklah ketara dalam proses penguasaan bahasa Melayu melalui konteks semula jadi dalam kalangan orang Melayu yang menuturkan bahasa Melayu dalam aktiviti kehidupan harian mereka. Yakni, katakanlah dalam kalangan masyarakat luat bandar yang tidak pelru mencampur adukkan bahasa mereka dengan bahasa Inggeris.


Tatabahasa


Yang dikatakan aspek tatabahasa itu ialah peraturan-peraturan, ejaan, pembentukan perkataan, pembentukan ayat, makna dan peribahasanya. (Anak-anak orang di luar bandar ini dapat menguasai semula semua sistem ini, melainkan pembentukan perkataan dan pembentukan ayat.)


Budi Bahasa


Yang dikatakan aspek budi bahasa itu ialah peraturan-peraturan menggunakan bahasa dlam konteks berkomunikasi. Apabila kita berkomunikasi, kita melibatkan orang lain yang mendengar, menjawab, membalas, dll. Sopan santun adalah amat pelru bagi menjaga iklim komunikasi tersebut.


Dengan demikian tatabahasa menjaga peraturan-peraturan mekanika bahasa supaya menjadi betul sebutan, bentuk perkataan, bentuk ayat, makna atau peribahasa. Seterusnya budi bahasa menjaga penghormatan, sopan santun suaya tidak tersinggung.


Contoh:

Komunikasi lisan yang betul tata bahasa dan salah budi bahasa.


Kerani: Kamu boleh masukkan surat surat yang sudah disain ke dalam kotak itu (memuncung bibir ke arah kotak yang ditunjukkan, dengan muka masam.)


Komunikasi lisan yang betul tata bahasa dan budi bahasanya.


Kerani: Sila Puan Msukkan borang yang lengkap dan sudah ditandatangani itu ke dalam sampul surat ini (sambil menunjukkan sampul surat dengan ibu jari.) dan sila masukkan ke dalam kotak di sana (sambil menunjuk dengan jari ibu menunjukkan ke kotak, dengan muka manis, tidak perlu senyum.)


5. Bahasa Tinggi dan Bahasa Rendah


Dengan raja pandai berpatik,

dengan panglima panadi bertuan,

dengan bangsawan pandai berencik,

dengan ulama pandai berhamba,

dengan rakan pandai beraku


Bahasa Tinggi dan Bahasa Rendah


Daripada penjelasan mengenai neka-neka bahasa di atas tadi, dapatah kita lihat bahawa penggunaan bahasa rasmi yang memathui peraturan-peraturan tatabahasa dan budi bahasa adalah bahasa yang kita panggil Bahasa Tinggi. Penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan yang tidak mematuhi semua peraturan tatabahasa dan budi bahasa pula adalah Bahasa Rendah.


Pada tahap ini perlulah pula kita kita mengetahui satu konsep penting bagi menentukan sama ada bahasa yang kita gunakan itu adalah sopan atau tidak. Yakni, adakah bahasa yang kita gunakan itu berbudi bahasa atau tidak. Perkara penting yang perlu kita ingati adalah bahawa setiap neka bahasa ini mempunyai konsep penggunaannya.


Apabila kita menggunakan neka bahasa yang bersesuaian dengan konteks penggunaannya maka kita dilihat sebagai orang yang berbudi bahasa. Apabila kita menggunakan neka bahasa rendah dalam konteks bahasa tinggi, kita dilihat sebagai orang yang yang tidak berbudi bahasa, yakni ’kurang sopan,’ malah ’kurang ajar.’


Kemahiran kita menggunakan kata ganti nama, sistem panggilan, sistem gelaran atau peadan taraf yang betul dapat menimbulkan iklim komunikasi yang positif. Namun demikian, dalam peraturan menggunakan bahasa, kita sentiasa dapat meningkatkan keberkesanan komunikasi kita dengan memberi perhatian kepada aspek-aspek lain dalam bahasa komunikasi.


Ada aspek mekanik atau tatabahasa yang perlu juga kita beri perhatian yang berat juga. Pelanggaran aspek ini juga boleh menunjukkan perbuatan tidak sopan.


Bahasa Melayu Tinggi

Bagi menghormati orang yang kita lawan bercakap, kita gunakan Bahasa Melayu Tinggi. Yang dikatakan bahasa tinggi itu ialah bahasa yang rapi, atau lebih mudah dikenali dengan panggilan bahasa persuratan, iaitu bahasa yang digunakan oleh orang terpelajar atau berbudi bahasa. Berikut adalah ciri-ciri bahasa tersebut.


Ayat lengkap dari segi tatabahasa

Menggunakan bahasa Melayu dengan mempastikan setiap ayat lengkap, rapi dan terkawal adalah penting bagi menunjukkan kepada orang yang dilawan bercakap itu kita menghormatinya. Bahasa rendah menunjukkan kita tidak menghormati orang yang kita lawan bercakap.


a. Contoh pengguguran subjek


1a. Beliau telah arahkan ke kawasan yang lebih selamat (bahasa rendah)

1b. Beliau telah mengarahkan penduduk pindah ke kawasan yang lebih selamat (bahasa rendah)


2a. Dengan bersopan dihormati (bahasa rendah)

2b. Dengan bersopan kita dihormati (bahasa tinggi)


b. Contoh sendi nama yang ditukar


1a. Dia duduk dekat Kuala Lumpur (bahasa rendah)

1b. Dia tinggal di Kuala Lumpur (bahasa tinggi)


2a. Dia benci kat I (bahasa rendah)

2b. Dia benci pada saya (bahasa tinggi)


c. Contoh kata sendi nama yang digugurkan


1a. Pameran itu dibuka Menteri Pendidikan (bahasa rendah)

1b. Pameran itu dibuka oleh Menteri Pendidikan (bahasa tinggi)


2a. Pasukan terlibat terdiri anggota bersenjata Brunei (bahasa rendah)

2b. Pasukan terlibat terdiri daripada anggota bersenjata Brunei Darussalam. (bahasa tinggi)


d. Contoh imbuhan yang digugurkan


1a. Majlis ini sempurnakan oleh ... (bahasa rendah)

1b. Majlis itu disempurnakan oleh (bahasa tinggi)


2a. Denggi perlu elakkan (bahasa rendah)

2b. Denggi perlu dielakkan (bahasa tinggi)


3a. Menurut laporan berita baru terima (bahasa rendah)

3b. Menurut laporan berita baru diterima (bahasa tinggi)


4a. Jambatan Pulau Pinang laporkan selamat (bahasa rendah)

4b. Jambatan Pulau Pinang dilaporkan selamat (bahasa tinggi)


e. Contoh soalan kan yang ditambah


1a. Dia datang awal kan? (bahasa rendah)

1b. Beliau datang awal. (bahasa tinggi)


2a. Dia orang kena gempa kan? (bahasa rendah)

2b. Mereka ditimpa bencana gempa bumi. (bahasa tinggi)


Sebutan baku


Apabila bercakap, sebutan bahasa yang baik dapat memebri kesan atau menunjukkan kita menghormati orang yang dilawan bercakap. Sebarang penggunaan sebutan yang tidak baku, atau penggunaan sebutan dialek menurunkan nilai komunikasi. Perbuatan begitu juga sering dianggap mengejek orang yang dilawan bercakap, kerana perbuatan begitu mengajuk-ajuk itu adalah mencemuh.


Perkara yang perlu dilakukan ialah, bercakaplah dalam bahasa surat atau dalam istilah Z’aba dipanggil bahasa sekolah. Bahasa sekolah itu adalah bahasa orang terpelajar atau berpendidikan. Kita bercakap dengan membunyikan setiap huruf dengan sempurna. Setiap huruf disebut dengan jelas. Beberapa contoh yang dimaksudkan adalah seperti berikut:


1. Tidak ada huruf yang dibuang, contoh: besar disebut besa.


2. Tidak ada huruf dibunyikan berlainan daripada yang ditulis, contoh: kecil disebut *kecik, hampas disebut *hampeh, lemas disebut *lemeh, lapar disebut *lapak, habis disebut *habih.


3. Tidak ada bunyi yang ditambah, contoh: bunyi disebut *bunyik, nasi disebut *nasik.


4. Tidak ada vokal yang diberi nilai bunyi vokal lain, contoh: bola disebut *bolĕ, tĕrang disebut *terang), lawa disebut *lawĕ.


Ganti nama dan panggilan hormat


Sistem bahasa Melayu tinggi sentiasa menggunakan ganti nama hormat. Ganti nama yang daripada bahasa pasar adalah bahasa rendah. Contoh;


1a. Kita orang datang kerja awal, sebelum trafik jem. (bahasa rendah)

1b. Kami datang bekerja awal, sebelum trafik sesak. (bahasa tinggi)


2a. We all suka shopping kat Giant, price dia pun reasonable. (bahasa rendah)

2b. Kami suka membeli-belah di Giant, harganya pun berpatutan. (bahasa tinggi)


Bahasa basahan dan bahasa korporat


Kita perlu membezakan bahasa yang kita gunakan dalam konteks keluarga dan konteks tidak rasmi. Ini adalah bahasa basahan. Bahasa begini adalah bahasa rendah. Ciri-cirinya adalah bahasa begini tidak mematuhi semua peraturan tatabahasa, menggunkan kosa kata dialek, sebutan dialek, kata-kata ringkas dan sebagainya.


Bahasa korporat adalah bahasa rapi dan terkawal supaya memenuhi peraturan tatabahasa dan juga peraturan tatasosial. Peraturan tatabahasa menuntut supaya semua imbuhan, sebutan, intonasi digunakan sepenuhnya.


Contoh 1: Bahasa basahan


Sorrylah I came late. I dah called Encik Hamdan, the school senior assisttant suruh dia chiar meeting ini, tapi dia tak boleh. Dia dah ambik emergency leave kerana mother-i-law dia masuk wad ICU. Tapi we all cannot postpone meeting ni. Kena ada decision kita tentang projek kat school kita ni, fasal nak buat library before PIBG meeting next week. PIBG chairman mintak we all decide, supaya dia dapat bawak perkara tu ke meeting PIBG. They all nak consider our proposal.


Peristiwa ini dapat dilakukan dalam bahasa Melayu Tinggi yang seharusnya yang digunakan dalam budaya tinggi dalam pejabat atau korporat. Seharusnya Tuan Pengerusi berkata begini:


Pertama-tama saya memohon maaf kerana sampai lewat. Saya cuba menghubungi Encik Hamdan, Penolong Kanan Sekolah supaya mempengerusikan mesyuarat ini tetapi beliau berhalangan. Malangnya beliau tidak dapat datang sebab dia terpaksa mengambil cut kecemasan bagi menguruskan ibu mertuanya sakit dan terpaksi dimasukkan ke Unit Kawalan Rapi di hospital.


Kita tidak dapat menangguhkan mesyuarat ini kerana kita perlu membuat keputusan mengenai cadangan projek membina perpustakaan di sekolah kita. Kita diminta oleh Pengerusi PIBG membuat keputusan kita sebelum mesyuarat PIBG minggu depan. Beliau akan membawa kertas cadangan ini ke mesyuarat Lembaga PIBG untuk pertimbagangan mereka.


Sekiranya laporan ini dibuat dalam bahasa basahan dalam konteks rasmi, katakanlah dalam bilik darjah, maka bahasa begini tidak sesuai. Dengan kata lain, tidak sopan.


6. Gangguan Sistem Menyebabkan Kesalahan Budi Bahasa


Elok bahasanya,

eloklah lakunya,

eloklah pula budinya.

Manis didengar,

manislah pada pandangan,

manislah pula tingakh lakunya.


Penggunaan bahasa berlaku dalam banyak sistem, konteks dan situasi yang saling bertumpang bertindih. Sistem sapaan adalah berbeza dalam berbagai konteks dan situasi penggunaannya. Setiap konteks seperti kampung, bandar, pejabat kerajaan, di pasaraya, dll.; dan dalam setiap situasi seperti berjual beli, berpidato di depan khayalak, bercakap di televisyen, berucap dalam majlis perkahwinan, bercakap dengan pesakit klien dll.; dan berurusan dengan orang kampung, berurusaan dengan pekerja, berurusan dengan pegawai, berurusan dengan pembesar, dll., setiap satunya mempunyai budaya masing-masing.


Baru-baru ini, banyak badan dan organizasi besar dibangunkan. Dari situ timbullah konteks baru, iaitu budaya korporat. Ini memerlukan kita menggunakan bahasa rasmi, rapi dan baku. Walau bagaimanapun, kebanyakan penutur bahasa Melayu adalah dari luar bandar dan belum begitu mahir dengan sistem bahasa korporat ini. Bahasa korporat memerlukan penggunaan bentuk panggilan hormat, penggunaan tatabahasa rapi, dan perkataan, frasa dan ayat-ayat yang tidak dipendek-pendekkan atau diringkaskan. Dalam perkataan lain, kita memerlukan bahasa yang sempurna dari segi tatabahasa dan budi bahasanya.


Unsur bahasa yang ketara adalah penggunaan perkataan. Penutur tidak mamberi perhatian terhadap apa perkataan yang dugunakannya. Sistem bahasa kita mempunyai banyak neka, dan setiap neka ada konteksnya. Ada peratutran yang terus dapat mengenal pasti apa neka bahasa dalam semua konteks. Neka bahasa basaha; bahasa pasar dlam koneks tidak rasmi, bahasa kampung bukan dalam usaha korporat.


Kesan kesalahan penggunaan panggilan nama, perkataan, sebutan dll.


Akibatnya kita melanggar bebrapa peraturan sosial atau budi bahasa. Dengan tidak kita sedari, kita melakukan kesalahan besar. Akibatnya adalah:


1. Kita tidak mengormati orang

2. Kita tidak mengormati taraf dan kedudukan orang

3. Kita tidak memperdulikan perasaan orang.

4. Kita tidak memperdulikan keberkesanan komunikasi.


Kita seolah-olah merasakan bahasa basahan, bahasa pasar, dan bahasa neka rendah yang dituturkan itu sesuai dengan orang yang kita lawan bercakap. Ini bermakna kita menurunkan tarafnya, kita menganggap dia rendah – setaraf dengan taraf kita, kita menganggap dia tidak berpendidikan. Dengan perkataan lain, kita mengaku-engkaukan, kita mengeyou-youkan, orang yang kita lawan bercakap. Ungkapan begini tidak sesuai untuk semua konteks.


Dengan lain perkataan, penutur begini mengalami gangguan pertindihan sistem. Dia menggunakan sistem kampung di dalam pejabat. Dia menggunakan panggian mesra dalam situasi rasmi. Dia menggunakan sistem bahasa basahan dalam konteks bahasa rasmi, dll.


Sistem mesra ke dalam sistem rasmi


Apabila penutur bahasa Melayu dari kampung masuk ke dalam dunia korporat, maka berlakulah gangguan terhadap penggunaan bahasa ini. Orang kampung menggunakan sistem panggilan kampung dengan memanggil semua orang lelaki lebih tua daripadanya sebagai Abang dan lelaki yang lebih tua sebagai Pak Cik. Peniaga restoran yang berasal dari kampung tetap saja memanggil pelanggannya dengan panggilan kampung, Abang, Kakak, Mak Cik, dll. Pada hal pelanggannya merasa tidak dihormati apabila dipanggil begitu. Malah, ada mahasiswa yang berasa dari kampung memasuki universiti, terus saja memanggil seorang pensyarah perempuan dengan panggilan kakak dan abang, malah saya pernah dipanggil pak cik.

Panggilan ini betul dari segi sistemnya, iaitu orang Melayu memanggil orang yang lebih tua itu kakak, abang, mak cik, pak cik malah, boleh juga atuk.


Panggilan begitu sesuai betul dengan konteks kampung dan keluarga, tetapi tidak untuk konteks korporat. Ternyata, mahasiswa ini terkeliru dengan konteks yang bertindih ini. Mereka sekarang berada bukan lagi dalam konteks kampung dan keluarga, mereka sudah berada dalam konteks institusi pengajian tinggi yang situasinya adalah rasmi. Panggilan mesra yang sesuai di kampung dan dalam keluarga dalam kalangan keluarga, tidaklah sesuai lagi dalam konteks universiti yang situasi rasmi di antara mahasiswa dan mahaguru. Peralihan konteks dan situasi ini menuntut mereka membuat pilihan, iaitu menukar sistem panggilan mereka itu sekarang kepada panggilan cik, encik, puan dan tuan pula. Ternyata ada yang tidak dapat berbuat begitu.


Contoh:


Siswa: Kakak, mana pejabat Dekan Sains Sosial.

Pensyarah: Itu!. Nanti dulu. Jangan panggil saya kakak. Panggil saya Puan Dr.

Siswa: (Sambil pergi, kepada rakannya) Eleh! sombongnya, meluat, meyampah .... Melayu apa ni ...


Analisis:


Bertatabahasa dan berbudi bahasa ;

Sistem bahasa basahan ke sistem rasmi


Begitu juga ungkapan bahasa basahan mula mengganggu sistem bahasa rasmi. Bahasa daerah dicampurkan dengan bahasa rasmi. Contoh:


Kat situ

Kat sini

Pergi kat sana

Besa

Kecik


Anaisis:


Bertatabahasa dan Berbudi bahasa


Sistem bahasa daerah dibawa masuk ke sistem bahasa rasmi. Sistem sebutan dialek Kedah, Kelantan, dll. mengganggu sistem sebutan bahasa baku. Contoh:


Mai pekena kopi dulu. (dialek Kedah dan Pulau Pinang)

Guano


Pilihan ungkapan dialek seperti jom menggantikan marilah. Contoh:


Jom baca.


Analisis:


Bertatabahasa dan berbudi bahasa


Sistem bahasa slanga ke sistem bahasa rasmi


Dalam semua konteks neka bahasa basahan digunakan dalam konteks rasmi, bahasa kampun dalam waris korporat.Ungkapan bahasa remaja seperti sure heboh, blah, balok, awek, dll


Mula mengganggu bahasa rapi dan bahasa rasmi. Contoh:


Blah,

Balok dia

Power

Hot

Top


Analisis:


Bertatabahasa dan berbudi bahasa


Sistem ganti nama Inggeris dan bahasa campur ke bahasa rasmi


Sistem ganti nama bahasa Inggeris mengganggu sistem ganti nama Melayu. Contoh:


Ai

You

We all

They all


Analisis:


Bertata bahasa dan berbudi bahasa


7. Kesalahan Budi Bahasa Lebih Serius Daripada Salah Tata Bahasa


Sebab pulut santan binasa,

Sebab mulut badan binasa.

Terlajak perahu dapat diundurkan,

Terlajak kata buruk padahnya.


Apabila kita melakukan kesalahan tatabahasa kesannya tidaklah serius dan tidak ada implikasi jangka masa panjang. Katakanlah kita salah menyebut satu perkataan. Katakanlah kita salah mengeja satu perkataan. Katakanlah kita salah menggunakan imbuhan. Katakanlah kita membina ayat yang tidak ada subjek, dan seterusnya. Kesalahan tatabahasa itu dapat sahaja dibetulkan. Tidak ada sesiapa yang merasa kesan negatifnya. Seorang pelajar mungkin akan hilang beberapa markah pada masa itu. Itulah sahaja kesannya.


Tidak ada siapa yang akan marah. Tidak ada sesiapa yang mengatakan kita kurang sopan. Tidak ada orang yang tersinggung sehingga dia membatalkan niatnya hendak membeli sesuatu barangan. Tidak ada sesiapa yang akan menraik balik keputusannya mengenai sesuatu perjanjian perniagaan. Malah, kesalahan tatabahasa tidak menimbulkan akibat yang berat. Pendeknya tidak ada orang yang akan mengatakan kita tidak berbudi bahasa.


Sebagai orang Malaysia yang menuturkan bahasa Melayu, sudah semestinya kita mengetahui tentang adanya unsur budaya dalam berkomunikasi. Namun, peranan yang dimainkan oleh unsur-unsur budaya ini kurang difahami oleh ramai orang. Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini timbul, dan ini dijelaskan nanti. Apabila aspek ini semakin kurang diberi perhatian sehingga menimbulkan kesan buruk dalam komunikasi bahasa Melayu, maka barulah kita semakin merasakan perlu dilakukan sesuatu supaya penggunaan unsur-unsur budaya yang positif dalam komunikasi diambil kira. Terutama dalam komunikasi rasmi dan perniagaan.


Unsur-unsur budaya ini ada disebut dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah, tetapi perinciannya tidak ada. Kita tidak tahu apa aspek budaya yang dimaksudkan dan bagaimana pula kita mengajarkannya kepada murid sekolah. Apa kaedah mengajarkannya, dan apa pula bahannya. Memang ada beberapa aspek bahasa yang mengandungi unsur budaya, iaitu: kata sapaan atau panggilan, kata gelaran, kata ganti nama, cara-cara memberi dan menerima salam, gerak-geri badan, gerak tangan, tembung mata, kuat suara, umur, jantina dll.


Di samping itu ada juga unsur-unsur lain yang mempengaruhi penggunaan bahasa, iaitu sama kita bertutur dalam konteks rasmi atau tidak rasmi. Dengan siapa kita bercakap atau berucap, apa taraf sosial orang yang dilawan bercakap, apa tahap pendidikannya, apa jenis pendidikannya, apa jawatan dan gelaran si penutur dan si pendengar? Begitulah seterusnya. Semua unsur ini mempengaruhi cara kita menggunakan bahasa, bagi menyampaikan maklumat, memberi dan membalas pujian, mengkritik, mencerca, menggunakan unsur humor dll. Perkara-perkara ini sentiasa mengiringi bahasa yang dituturkan pada sesuatu masa. Lihat contoh berikut:


Contoh 1


Seorang lelaki memakai baju sut lengkap warna hitam turun daripada kereta Mercedes 380 masuk ke bilik pameran motokar Citroen (Ampang, September 1996). Beliau memandang kepada penyambut tetamu wanita muda yang sedang bercakap di telefon.


Pelanggan: Cik, Ada jurujual, saya ingin bertanya?

Penyambut tetamu: Yu wait seminit ... Ai cakap dengan bos ni ... (memalingkan muka daripada pelanggan.)

Pelanggan: ‘Yu’ kepala hotak engkau …


Bakal pelanggan berkata dengan suara rendah, tetapi dapat didengar dengan jelas. Beliau keluar, terus masuk kembali ke keretanya dan beredar. Ternyata beliau merasa dilayan dengan buruk.


Analisis Kesalahan Tatabahasa

Tiada.


Analisis Kesalahan Budi Bahasa

Penyambut tetamu itu tidak berbudi bahasa melayan pelanggan. Beberapa peraturan budi bahasa dalam bahasa Melayu. Bahasanya biadab. Bahasa badannya biadab. Itulah kesalahan budi bahasa yang besar.


Layanan penyambut tetamu itu biadab, gerak-gerinya biadab, dan bahasanya biadab. Inilah kesalahan budi bahasa. Memanggil orang yang bertaraf tinggi dengan ganti nama bahasa pasar Yu adalah merendahkan tarafnya. Kedua, perbuatan terus bercakap di telefon adalah perbuatan yang tidak sopan juga.


1. Memanggil pelanggan yang ternyata lebih tinggi tarafnya dengan panggilan Yu adalah menuntut taraf pelanggan yang sentiasa mesti dihormati.

2. Bahasa pasar yang digunakan juga merendahkan taraf pelanggan.

3. Penyambut tetapi yang tidak berhenti bercakap adalah juga berlaku biadab.

4. Menggunakan bahasa rendah ..


Bahasa Lisan Yang Betul


Pelanggan: Cik ada juru jual? Saya ingin bertanya.


Penyambut Tetamu: (Berhenti bercakap, menghadapi pelanggan, mata memandang pelanggan) Ada Tuan, dia keluar sebentar. Sila duduk dan tunggu sebentar. Sekejap lagi saya uruskan keperluan Tuan. (Dan, pendekkan percakapan di telefon menjadi seringkas-ringkas yang boleh, dan kembali melayan pelanggan. Percakapan telefon dalam perniagaan adalah ringkas.)


Kesalahan Budi Bahasa Pegawai Tinggi

Bukan orang biasa sahaja melakukan kesalahan budi bahasa. Orang berpendidikan juga boleh melakukan kesalahan budi bahasa. Malah, kesalahan demikian lebih memberi kesan negatif.


Contoh 2

Ubah contoh

Seorang pensyarah bernama H….. baru mula berucap. Salah seorang hadirin dalam majlis itu ialah seorang pegawai tinggi, jauh lebih tinggi daripada taraf pensyarah. Namum mereka pernah berkawan pada masa dahulu. Dalam memulakan ucapan pensyarah tersebut berkata sesuatu yang melanggar peraturan budi bahasa dalam budaya Melayu, iaitu:


Pensyarah: Yang Berbahagia Cik Nama …

Pegawai tinggi: Cik Nama kepala bapak dia …


Beliau berkata demikian kepada ketua jabatan pensyarah tersebut, yang kebetulan duduk di sisi beliau.


Analisis Keslahan Tatabahasa

Tiada kesalahan tatabahasa.


Analisis Keslaahan Budi Bahasa

Pensyarah berkenaan menggunakan satu frasa yang lazim digunakan bagi menyapa kawan baik yang senama dengan kita, tetapi mestilah kawan yang setaraf. Apabila dilakukan kepada orang yang lebih tinggi tarafnya, ini bermakna kita menurunkan tarafnya ke taraf kita. Ini adalah kesalahan budi bahasa. Akibatnya buruk. Kita boleh memalukan diri sendiri dalam majlis. Bahkan kita boleh kehilangan pelanggan yang akan membeli barangan kita.


Kefahaman Kita Tentang Budi Bahasa

Rata-rata, rakyat Malaysia mengetahui tentang adanya unsur budaya dalam berkomunikasi. Namun, peranan yang dimainkan oleh unsur-unsur budaya ini kurang difahami oleh ramai orang. Ada banyak faktornya, tetapi itu bukan tujuan buku kecil ini. Apabila aspek ini semakin kurang diberi perhatian, sehingga menimbulkan kesan buruk dalam komunikasi bahasa Melayu, maka barulah kita semakin merasakan perlu dilakukan sesuatu supaya penggunaan budi bahasa yang positif dalam komunikasi diutamakan semula. Terutama sekali dalam komunikasi rasmi dan perniagaan.


Unsur-unsur budi bahasa ini ada disebut dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah, tetapi perinciannya tidak ada. Kita tidak tahu apa aspek budaya yang dimaksudkan dan bagaimana pula kita mengajarkannya kepada murid sekolah. Apa kaedahnya, apa bahannya, dan seterusnya. Memang ada beberapa aspek bahasa yang mengandungi unsur budi bahasa, iaitu: kata panggilan, kata gelaran, ganti nama, cara memberi dan menerima salam, gerak-geri badan, gerak tangan, tembung mata, kuat suara, umur, jantina dll.


Di samping itu ada juga unsur-unsur lain yang mempengaruhi penggunaan bahasa, iaitu sama ada kita bertutur secara rasmi atau tidak rasmi. Dengan siapa kita bercakap atau berucap, apa taraf sosial, tahap pendidikan, jenis pendidikan, jawatan dan gelaran si penutur dan si pendengar. Semua unsur ini mempengaruhi cara kita menggunakan bahasa bagi, menyampaikan maklumat, memberi dan membalas pujian, mengkritik, mencerca, menggunakan unsur humor dll. Perkara-perkara ini sentiasa mengiringi bahasa yang dituturkan pada sesuatu masa.


Ahli masyarakt memang lebih sensitif terhadap kesalahan budi bahasa dalam berkomunikasi. Budi bahasa ini bukanlah sekadar perkataan dan ganti nama sahaja. Unsia orang yang bercakap, tekanan suara yang menunjukkan kesombongan dan keangkuhan adalah antara perkara yang juga menjadi unsur dalam budi bahasa.


Peristiwa contoh 3


Berikut adalah perasaan seorang imam tua yang disegani ditegur oleh seorang pegawai agama yang masih muda dalam cerpen ”Bukan Orang Kita” karya Zainal Arifin Sharbini, Berita Minggu, 14 Ogos 2005. Seorang imam tua dipanggil dan dtegur oleh pegawainya kerana melantik imam daripada kalangan calon yang tidak disetujui jabatan agama.


”Bukankah dia pernah dipecat daripada mengajar di sebuah masjid seberang sungai?” tanya pegawai agama yang bertali leher dan memakai kot warna gelap. Suaranya agak keras. Dia lupa, orang yang berada di hadapannya jauh lebih tua daripada umurnya yang dalam lingkungan tiga puluhan.


Ternyata dalam pertemuan ini, unsur usia dan jawatan adalah penting. Pegawai sekalipun, sekiranya bercakap dengan orang tua yang memegang jawatan agama imam, perlulah memberi perhatian kepada unsur-unsur budi bahasa. Sekalipun taraf pegawai adalah lebih tinggi, tetapi dia tidak pun boleh meninggikan suara. Dia juga tidak boleh menggunakan bahasa yang keras. Itu adalah tanda-tanda orang tidak berbudi bahasa.


Khutbah Jumaat PTS: Bahasa Guru, Pensyarah Kolej dan Profesor Universiti

Nabi Muhammad (bacakanlah doa buat beliau, anggota keluarga beliau dan sahabat-sahabat beliau) tidak membenarkan kita memanggil orang dengan nama-nama panggilan yang tidak baik maknanya.

Lazimnya larangan itu ditafsirkan sebagai kita tidak boleh memberikan nama-nama jolokan seperti Mat Buntal ataupun Minah Sumbing ataupun Si Bodoh dan lain-lain yang seperti itu.

Namun, panggilan yang tidak baik maknanya bukan hanya terbatas pada nama-nama jolokan.

Dalam Bahasa Melayu, kata ganti nama (istilah Inggerisnya pronoun) juga termasuk dalam kategori kata panggilan. Ada kata ganti nama yang membawa makna baik, dan ada yang membawa makna kurang baik dan ada yang tidak baik.

Pada masa ini kata ganti nama orang kedua kamu digunakan oleh guru-guru dan majoriti pensyarah maktab perguruan, kolej dan universiti bagi membahasakan pelajar mereka sedangkan makna konotasi kata ganti nama kamu adalah negatif.

Sekolah, kolej dan universiti adalah pusat-pusat peradaban. Adalah tidak wajar apabila guru-guru dan para pensyarah menggunakan bahasa yang tidak mencerminkan adab-adab berbahasa yang tinggi dan halus.


Tip untuk Penulis-Trainer PTS: Biar Terlebih, Jangan Terkurang

Bahasa adalah currency - matawang.

Bahasa yang digunakan dengan betul dapat menterjemahkan peluang bisnes menjadi duit tunai. Begitu juga sebaliknya. Bahasa yang digunakan dengan salah menyebabkan kita hilang peluang membuat duit.

Semasa bercakap-cakap dengan pelanggan (pengurus latihan dan peserta kursus adalah pelanggan), antara aspek-aspek komunikasi interpersonal yang wajib dijaga dengan ketat sekali adalah:


(i) Jangan yakin bahawa kita tahu apa yang ada dalam hati pelanggan kita.

Kita mungkin suka hendak bermesra-mesra dengan pelanggan kita, tetapi orang itu belum tentu mahu dirinya dimesra-mesrai dengan cara-cara yang kita gunakan itu.

Pendek kata, jangan kita melantik diri sendiri menjadi jurucakap orang lain. Walaupun orang itu hanya pengawal keselamatan, jangan kita berkata dalam hati: "Dia tentu okay kalau aku panggil dia 'abang' sahaja."

Dari mana kita tahu orang itu okay apabila kita panggil dia 'abang'? Inilah yang dikatakan kita melantik diri kita menjadi jurucakap orang lain.

Orang awam macam kita mungkin okay apabila dipanggil 'encik', tetapi pegawai tinggi dalam pasukan beruniform, seperti tentera, polis, kastam, imigresen dll, suka dipanggil 'tuan' oleh orang awam sekalipun.


(ii) Jangan meng-impose nilai-nilai peribadi kita ke atas pelanggan kita.

Teknik-teknik komunikasi dan gaya bahasa yang kita sukai belum tentu disukai oleh orang-orang lain. Jadi, jangan kita paksakan cara-cara dan citarasa kita ke atas orang-orang lain.

Kita mungkin suka bercakap you-I-you-I dengan orang-orang lain. Jadi, kita tidak berasa apa-apa jika orang bercakap dengan kita menggunakan you-I-you-I. Tetapi bukan semua orang macam kita, kerana bagi mereka you-I-you-I serupa maknanya dengan engkau-aku-engkau-aku (itu sebab tidak akan ada sesiapa yang bercakap menggunakan you-I-you-I apabila bercakap dengan ibu dan bapa mertuanya sebab bercakap begitu adalah biadab).

Jika pelanggan kita bercakap you-I-you-I kepada kita, kita jangan ikut gaya bahasanya.

Pendek kata, bak istilah Inggerisnya, jangan kita ‘take liberty’ ke atas orang-orang lain.

Tanya dahulu kepada orang itu bagaimana sebaiknya kita memanggil dia. Sebagai contoh, kita bertanya: "Minta maaf, bolehkah saya bertanya sedikit?... Apakah panggilan yang sesuai saya gunakan - Datin ataupun Dr.?"

Kalau dia menjawab: "Mana-mana pun boleh."

Kita hendaklah berkata: "Kalau begitu, bolehkah saya gunakan Datin?"

Prinsip yang selamat diikuti dalam apa juga interaksi interpersonal adalah: Biar terlebih, jangan sekali-kali terkurang.

Contoh aplikasi prinsip ini: Kalau kita tidak pasti apakah orang itu seorang yang bergelar Dato’, maka panggil dia Dato’. Jangan sekali-kali panggil dia Encik.

Kalau dia menjawab, “Saya bukan Dato’,” jangan kita jawab, “Minta maaflah, saya silap.”

Jawapan yang betul adalah, “InsyaAllah! Saya doakan tidak lama lagi Tuan menjadi Dato’. Amin.”

Begitulah halnya, jika kita tidak yakin orang itu masih Dato’ ataupun sudah menjadi Tan Sri, maka panggilah Tan Sri.

Jangan sekali-kali membahasakan pelanggan perempuan (tanpa mengambil kira berapa umurnya) dengan panggilan kampungan seperti 'mak aji', 'makcik', 'kakak' ataupun 'adik'.

Biar terlebih, jangan terkurang


Ajar pada masa kanak-kanak

Bahasa itu wang

Sistem panggilan menentukan syarat, sets the rules, (codes: elaborate dan restricted)

No comments:

Post a Comment